PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menetapkan 9 September kepada Peguam Negara (AG) sebagai tarikh akhir untuk rayuan pendakwaan berhubung pembebasan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas 40 pertuduhan menerima rasuah yang berkaitkan dengan VLN.

Tiga panel hakim yang dipengerusikan oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail, yang bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk S M Komathy Suppiah memutuskan tarikh berkenaan selepas pendakwaan masih belum membuat keputusan sama ada menerima dua representasi daripada Ahmad Zahid atau sebaliknya.

Terdahulu, pihak pembelaan Timbalan Perdana Menteri itu memohon untuk menangguhkan prosiding rayuan yang kemudiannya tidak dibantah oleh pendakwaan.

Menjelang 9 September, mahkamah juga akan mendengar status dua representasi yang dikemukan oleh Ahmad Zahid pada Februari lalu.

Pada 23 September tahun lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam melepas dan membebaskan Ahmad Zahid, daripada semua pertuduhan itu selepas memutuskan bahawa pendakwaan tidak berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Pada 29 Disember 2022, pendakwaan memfailkan petisyen rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Ahmad Zahid daripada 40 pertuduhan menerima rasuah daripada UKSB untuk menyambung kontrak Visa Luar Negara (VLN) dan Pusat Sehenti (OSC) di China.

Pihak pendakwaan mengemukakan sebanyak 14 alasan memfokuskan kepada penemuan fakta dan undang-undang yang dibuat oleh hakim Mahkamah Tinggi mengenai persoalan sama ada terdapat unsur rasuah dalam pemberian dan penerimaan wang dalam kes itu.

Sementara itu, peguam bela Datuk Hisyam Teh Poh Teik berkata bahawa sebab utama penangguhan hari ini ialah kerana Ahmad Zahid mempengerusikan mesyuarat tengah hari ini.

Manakala seorang lagi peguam bela, Hamidi Mohd Noh turut berkata bahawa penangguhan itu juga disebabkan kerana baru menerima hujahan rayuan bertulis pihak pendakwaan pada Khamis minggu lalu.

"Kes ini panjang dan sangat sukar untuk dibuat, jadi masa perlu diberikan kepada pihak kami untuk kami jawab dengan lebih teliti.

"Kita tak kata yang ini merupakan kes yang istimewa. Kita bercakap tentang keadilan dan keadilan perlu diberikan masa dan ruang secukupnya kepada kami untuk jawab," tambahnya lagi ketika bercakap kepada pemberita di Mahkamah Rayuan Putrajaya.

Presiden UMNO itu menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan sistem VLN serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN.

Bagi tujuh pertuduhan lagi, Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO itu didakwa memperoleh untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000; RM3.125 juta; 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada syarikat sama yang diketahui mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau.

Ahmad Zahid yang juga bekas Menteri Dalam Negeri didakwa melakukan kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.